Wednesday, July 1, 2009

Mewah Bahasa: Ketam kayu goreng lada



Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

AHNA yang berasal dari Petaling Jaya mengikut suaminya pulang ke kampung. Mereka baru beberapa bulan melangsungkan perkahwinan. Di kampung, mentuanya sedang melakukan ubah suai dapur. Pada pagi itu sedang Ahna duduk di anak tangga depan, bapa mentuanya sampai dengan motosikal.

Ahna: Ayah dari mana tadi?

Mentua: Kedai, beli ketam.

Ahna: Ooo, beli ketam, bak le, biar Ahna bawak ke dapur.

Mentua: Tak apalah, ayah memang nak ke dapur ni, sambung kerja bertukang yang terhenti tadi. Ketam tak ada, tu yang pergi kedai ni.

Ahna: Biar Ahna yang masak karang. Masak gulai lemak sedap tu .... Ayah! Ketam nipah ke?

Mentua: Bukan ketam nipah! Ni ketam kayu, tak boleh masak gulai lemak. (Sambil terus berjalan ke belakang dapur membawa bungkusan ketam)

Ahna: (Berbisik sendirian) Ooo, ketam kayu tak sedap buat gulai lemak yea?! Kalau macam tu, goreng berlada ajelah. Sedap juga! Dah kecur air liur ni.

Ahna terus ke bilik dan mendapati suaminya sedang bersiap-siap.

Ahna: Abang dah siap-siap ni nak ke mana? Nak gi ngorat ke?

Suami: Nak gi pasar le, kan ayang mengidam nak makan gulai lemak ketam? Nak ikut ke? Kalau nak ikut cepat siap. Tapi pasar kat sini kotor sikit, basah dan becak, tak macam pasar raya. Boleh tahan ke? Nanti muntah pulak, ayang kan tengah loya-loya. Kalau rasa tak larat duduk aje rumah.

Ahna: Abang tak payah pergilah.

Suami: Jangan risaulah, abang tak gi mengoratlah. Lepas beli ketam, abang janji terus balik.

Ahna: Bukan risau abang gi mengorat, Ahna percaya pada abang. Cumanya buat apa pergi sebab ayah dah beli ketam dah! Ayah macam tau aje Ahna ni mengidam ketam. Abang dah bagi tau ke yang dia nak jadi datuk?

Suami: Belum bagi tau lagi, macam mana dia tau yek? Bila dia beli ketam?

Ahna: Tadi, Ahna nampak dia balik dari kedai beli ketam. Tapi ketam nipah dan ketam renjung tak ada, dia beli ketam kayu. Sedap juga kut. Jadilah asalkan bukan ketam batu!

Suami: Dia kata dia beli ketam apa?

Ahna: Ketam kayu ... pelik juga, tak pernah pulak jumpa ketam kayu ni kat pasar. Selalunya orang jual ketam nipah dengan ketam renjung je.

Suami: Kah! Kah! Kah! Ketam kayu ke?! Tak boleh masak gulai lemak tu!

Ahna: Ayah pun cakap macam tu tadi. Masak goreng berlada ajelah! Sedap jugak.

Suami: Kah! Kah! Kah! Kenapalah bini abang nih? Ketam ni tak boleh dimakanlah yang.

Ahna: Kenapa tak boleh makan?

Suami: Sebab dia makan kayu! Dahlah, ... cepat siap, kita pergi pasar cari ketam yang boleh dimakan, boleh masak lemak! Ha! Ha! Ha! Buat lawak pulak bini aku pagi-pagi buta ni!

Ahna: (kebingungan)

Glosari

  • Ketam - sejenis hidupan laut yang kulit luarnya keras, berkaki sepuluh dan bersepit dari keluarga krustasia.
  • Sejenis alat pertukangan yang digunakan untuk melicinkan permukaan kayu.

  • Mewah Bahasa: 'Jaga yang tidur'




    Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

    JEFF dan Zul pelajar tahun akhir institut pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu kota. Mereka sedang menjalankan penyelidikan mengenai golongan yang tidak berumah dan gelandangan di ibu kota. Pada suatu malam, mereka keluar ke pusat bandar untuk mencari golongan gelandangan ini untuk ditemubual. Di hadapan sebuah bangunan, mereka bertemu dengan lelaki yang agak berumur sedang tidur di atas kerusi. Apabila mereka hampiri lelaki tersebut, lelaki itu terjaga ....

    Jeff: Zul, aku rasa orang tua tu menumpang tidur kat sinilah. Dia ni mesti tidak berumah, boleh jadi kita punya responden ni.

    Zul: Aku rasa macam tulah. Kaupergi interview dia, biar aku ambil gambar.


    Jeff: Pak cik, maafkan saya, boleh saya tanya sikit?

    Pak Cik: Nak tanya apa? Engkorang sesat jalan ke, malam-malam buta nih?

    Jeff: Bukan nak tanya jalan, kami berdua ni pelajar universiti. Nak buat kajian sikit, boleh saya tanya sikit?

    Pak Cik: Kalau tanya benda yang aku tau, bolehlah aku jawab.

    Jeff: Mula-mula saya nak tanya kenapa pak cik tidur di sini? Tidak ada tempat tinggal ke?

    Pak Cik: Pak cik jaga!

    Jeff: Tadi saya tengok pak cik tidur atas kerusi panjang ni.

    Pak Cik: Memang aku tidur sini, aku jaga.

    Jeff: Kenapa pak cik tidur di sini?

    Pak Cik: Jaga!

    Jeff: Saya tahu sekarang pak cik dah jaga, tapi tadi saya tengok pak cik tidur di sini. Pak cik tak ada rumah ke?

    Pak Cik: Ada! Aku duduk kat flat di Cheras.

    Jeff: Kalau ada rumah, kenapa pak cik tidur di sini?

    Pak Cik: Aku jaga!

    Jeff: Saya tau, sekarang pak cik jaga.

    Pak Cik: Dah tau kenapa sibuk tanya lagi? Awak jangan main-main, saya sibuk ni. Eh! Awak yang sorang lagi ni buat apa? Ambil gambar yea? Tak boleh! Tak boleh! Sini tak boleh ambik gambar. Katuk dengan cota ni baru tau!

    Jeff: Maaf pak cik. Ok, Zul! Jangan ambik gambar lagi! Maafkan kami pak cik, kami tak ambik gambar lagi. Pak cik sibuk yea?! Boleh saya tau pak cik sibuk buat apa?

    Pak Cik: Jagalah! Sibuk apa pulak lagi? Aku pelangkung pulak budak dua ekor ni kang baru tau! Tak nampak ke, aku jaga kat sini?!

    Jeff: Maaf, maaf, pak cik! Saya tahu pak cik jaga, tak tidur di sini.

    Pak Cik: Siapa kata aku tak tidur sini! Kena giliran malam, aku tidur sinilah! Tu tadikan kamu dah nampak aku tidur sini.

    Jeff: Pulak dah, tadi pak cik kata pak cik jaga, tapi sekarang pak cik mengaku pak cik tidur pulak.

    Pak Cik: Aku jaga sini, sebab itulah aku tidur sini. Faham tak?!

    Jeff: Aku rasa lebih baik kita blah cari responden lainlah. Aku rasa pak cik ni gila. Kejap dia kata dia jaga, kejap dia kata dia tidur dan last sekali dia kata dia jaga itu sebablah dia tidur.

    Zul: Sah dia ni orang gila, jom blah sebelum dikatuknya kita dengan kayu bulat tu.

    Pak Cik: Aku tak gila. Aku jaga kat sini. Baru lagi, jadi belum ada uniform. Mereka bagi cota dulu. Sebab kalau kena serang, mudahlah sikit.

    GLOSARI

  • Jaga - ( i ) tidak tidur ( ii ) orang yang mengawal, pengawal keselamatan
  • Gelandangan - orang yang tiada tempat tinggal tetap
  • Pelangkung - pukul
  • Mewah Bahasa: Banci Cun Habis

    IKRAM dan Jeff adalah pelajar di kolej swasta di pinggir Kuala Lumpur. Mereka tinggal berdua dengan berkongsi menyewa bilik di apartmen. Pada suatu malam....

    Jeff: Hey Ikram! Tak pergi lagi ke?

    Ikram: Pergi mana?

    Jeff: Pergi mana lagi?! Kan kau yang cakap tadi nak pergi pasar malam. Ni masih terconggok kat sini, apasal tak pergi? Dah lebih pukul lapan ni.

    Ikram: Dah pergi dah! Ni dah balik pun. Aku pergi petang tadi lagi, masa kau tidur.

    Jeff: Laaa ... dah balik ke? Eh! Lama ke aku tertidur tadi? Kaubeli tak nasi tomato yang aku pesan tu?

    Ikram: Ada! Tu sana atas meja. Siap dengan air jagung lagi.

    Jeff: Cayalah Ikram! Aku memang dah lapar ni. Eh!! Lupa pulak? Berapa ringgit semua? Kautulis dalam buku tiga lima dulu, nanti bila bapak aku bank in elaun, aku bayar le.

    Ikram: Tau!!! Engkau memang macam tu. Eh! Tadi masa di pasar malam, ada dua orang yang cantik ... cun melecun kau!

    Jeff: Tak ayat ke? Kalau aku yang jumpa, sure ayatnya ... dah bawa balik dah!

    Ikram: Menggoda habis! Rupa parasnya, mekap, dressing ... fuuyoh!! Mengancam! Lenggangnya ... bisa meleburkan iman!

    Jeff: Kautengok je ke? Tak ayat? Apalaa punya jantan ....

    Ikram: Dah! Aku cuba impit ... banci rupanya! Cabuut!

    Jeff: Orang banci ke? Baguslah tu, ada alasan nak dapat peluang sembang. Yang kau takut dengan orang banci kenapa? Kau tak bawak MyKad ke? Kalau mereka minta MyKad ke, pasport ke, hanya untuk tujuan perangkaan je, tak tangkap orang punya. Tak perlu takut!

    Ikram: Tak sanggup aku! Ya, Ampun! Geliii ... Kau suka ke?

    Jeff: Kalau dah cun melecun, tak kiralah apa kerja dia. Kalau aku tadi, aku sambar dah, paling tidak pun ambil nombor handphone. Orang banci ni rasanya dari Jabatan Perangkaan Negara ni, tapi kekadang dia orang ni part time aje buat banci, cari extra lepas habis belajar sementara nak dapat kerja tetap.

    Ikram: Aku pun rasa cam tu, rasanya dia part time je. Bukan full time banci sebab gaya dia over sangat. Kau suka banci ke? Tak geli ke?

    Jeff: Apalah kau ni, orang banci pun geli! Dah kerja dia pembanci nak buat macam mana? Orang banci memanglah kena dressing cantik, barulah orang ramai nak beri kerjasama. Kalau selekeh je, orang ingat orang gila pulak. Orang larilah bila mereka datang dekat. Tapi kau terbalik lak, ... takut pada orang banci yang lawa.

    Ikram: Selama ini aku tak sangka lak yang kau suka banci! Peliklah selera kau nih! Kalau dari dulu aku tahu, tak mau aku kongsi bilik dengan kau!

    Jeff: Kau tu lagi pelik, dengan orang banci pun takut. Udah le tu, aku lapar nih! Aku nak makan. Kau dah makan ke?

    Ikram: Makanlah, aku sudah makan tadi masa kau tidur. Apa ke jenis manusianya suka tidur senja. ( Dalam hati: Waduh! Bahaya tinggal dengan si Jeff ni, nanti diperkosanya aku, mampus! Memang kena cari rumah lain ni.)

    Glossari

    Banci - (1) perhitungan/ pengiraan bilangan penduduk, lalu lintas, rumah dan sebagainya.

    (2) lelaki berkelakuan dan berpakaian seperti perempuan (atau sebaliknya).

    Cun - (slanga) cantik, lawa.

    Mewah Bahasa: Tandas dilanda ribut





    RIBUT melanda sebuah perkampungan di Port Dickson dan dikhabarkan banyak rumah musnah. Pemberita dari beberapa akhbar tempatan terkejar-kejar ke tempat kejadian dan tertekan bagi mendapatkan maklumat memandangkan tragedi itu berlaku lewat petang. Berita terbabit perlu diperoleh kerana ia bakal menjadi antara tajuk utama untuk akhbar keesokannya. Di sebuah pejabat akhbar di Seremban ....

    Ketua Biro: Saya suruh awak buat liputan ribut kat Kampung Loyang tu tadi, apasal tak pergi?!

    Pemberita: Dah balik dah. Ni ha storynya.

    Ketua Biro: Cepatnya balik? ( membaca berita yang diberi oleh pemberita itu sampai berkerut dahi) Awak jangan nak main-main dengan saya, awak tu belum confirm lagi. Kalau macam ni punya kerja, saya tak rekomen!

    Pemberita: Memang itulah storynya.

    Ketua Biro: Sebenarnya awak pergi ke tak, ke kampung tu?

    Pemberita: Pergi, tapi sampai sekerat jalan je, kereta dah tak boleh masuk. Kena jalan kaki sebab kawasan sudah ditutup oleh polis. Tapi saya sempat jumpa orang kampung yang boleh diwawancara. Saya tanya keadaan di kampung tu dan apa yang musnah. Orang yang saya interview tu kata habis tandas, musnah semuanya! Tak ada yang tinggal lagi. Itulah yang saya tulis tentang tandas di kampung tu, semuanya habis musnah dipukul ribut.

    Ketua Biro: Boleh percaya ke, orang tua yang awak interview tu? Pelik semacam je story nih!

    Pemberita: Betool! Memang boleh percaya punya, sebab lepas tu saya interview seorang lagi orang kampung yang ada di situ, ceritanya sama. Dia kata semuanya habis, tandas semua, tak ada yang tinggal lagi. Tak ada pulak dia kata rumah atau harta benda lain yang musnah. Dia cuma kata tandas semuanya!

    Ketua Biro: Ini memang boleh jadi berita hangat nih! Pertama kali berlaku ribut yang musnahkan tandas sahaja. Macam mana mereka nak buang air yek?

    (Kebetulan sedang mereka berbincang itu, seorang pembantu pejabat sedang berada di situ dan mencuri dengar perbincangan mereka dan dia menyampuk ....)

    Pembantu pejabat: Encik, kalau encik masuk surat khabar cerita macam tu, habis digelakkan orang satu Malaya nanti. Orang yang encik interview tu sebenarnya nak bagi tau kampungnya dah habis musnah, tak ada sebiji rumah pun yang tinggal, semuanya dah roboh dilanda ribut.

    Ketua Biro: Awak jangan nak menyampuk! Jangan nak mengajar kami pulak. Buat kerja awak sendiri. Jangan nak menyibuk kerja orang. OK!, story ni pasti meletup punya, kita tunggu gambar sampai. Kenapa lambat lak jurugambar ni yek?

    Glossari: Tandas

    • habis langsung, hilang semuanya
    • bilik/bangunan untuk membuang air

    Mewah Bahasa: 'Panjat pokok sampai hujung julai'

    Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman




    PADA satu hujung minggu pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga, mengunjungi rumah keluarga si suami di pekan kecil di selatan tanah air. Si isteri dalam keadaan mabuk-mabuk pada peringkat awal kehamilan ....



    Isteri: Rasa muallah, rasa nak muntah! Tekak loya, rasa nak makan benda-benda masam.


    Suami: Ayang nak makan apa? Nanti esok kita balik KL, abang belikan.


    Isteri: Tak nak kat KL! Nak makan sini ....



    Suami: Ayang nak apa?

    Isteri: Rasa teringin nak cicah buah kundang dengan garam.



    Suami: Ooo, ayang teringin nak cicah kundang ya?! Ok, pagi esok abang pergi tengok kat pasar. Selalunya pasar kat sini ada jual buah-buah dan sayur kampung. Kalau ada rezeki adalah orang jual buah tu.



    Isteri: Tak nak esok, nak sekarang jugak! Bukan ayang yang nak, tapi yang dalam perut ni yang nak.



    Suami: Mana nak cari petang-petang macam ni?! Sabarlah sampai pagi esok.



    Isteri: Tu ada, atas pokok tu nampak banyak bergayut. (sambil menunjuk ke arah sebatang pokok di belakang rumah)



    Suami: Ooo, yang itu ke? Tajamnya mata ayang. Abang tak perasan pulak dan tak ingat pulak pokok tu. Sejak abang kecil lagi pokok tu memang dah ada. Dari dulu memang buahnya tak pernah putus.



    Isteri: Abang gilah panjat.



    Suami: Alamak!! Ayang, pokok tu tinggi dan batangnya besarlah. Dulu masa budak-budak memanglah abang selalu panjat pokok tu, tapi masa tu tak le setinggi ni.



    Isteri: Panjatlah! Dulu masa belum kahwin abang selalu cakap yang abang tu jaguh kampung. Semua boleh buat, panjat pokok, berenang dan macam-macam lagi sampai boring nak dengar. Sekarang ni nak panjat sikit pun dah tak nak? Abang dah tak sayang ayang ke?!



    Suami: Bukan tak nak, tapi pokok tu tinggi, dah tua. Masa dulu tu lainlah, rendah lagi, tak macam sekarang. Subur sangat tanah sini agaknya.



    Isteri: Nak panjat ke dak ni?! Karang ayang panjat sendiri baru tau, biar terkejut beruk semua orang kampung.



    Suami: Oklah! ... abang pergi panjat kejap lagi, tukar seluar dulu. Takkan pakai kain pelikat macam ni je, nanti nampak benda lain pulak yang bergayut! Tapi lambat sikitlah nak dapat ... hujung julai!



    Isteri: Hujung Julai!!! Takkan nak panjat pokok tu pun sampai tiga bulan? Abang janganlah main-main, seriuslah sikit, ayang ngidam nih! Kalau nak tunggu tiga bulan, terberanak dah!



    Suami: Siapa yang panjat pokok sampai tiga bulan?



    Isteri: Kan abang yang cakap tadi nak panjat sampai hujung bulan Julai.



    Suami: Bila pulak abang cakap macam tu?! Abang cakap tadi buah kundang tu ada kat hujung julai. Lambat sikit nak dapat sebab tak boleh panjat sampai situ, nanti patah! Kena pakai galah.



    Isteri: kan sekarang ni bulan April, hujung bulan Julai lambat lagi.



    Suami: Laaa ... bukan bulan Julailah ayang oooi! Hujung julai tu hujung dahanlah, faham tak? Tak belajo ke?



    Isteri: Ke situ pulak perginya, manalah ayang tau. Bahasa orang kampung ni pelik-peliklah. Janganlah banyak sembang! Pergilah panjat cepat! Hari dah nak gelap ni.

    Glosari

    Hujung julai


    - ranting pokok yang hujung sekali

    - pucuk ranting (pada tumbuhan yang akan melilit dsb

    - berjuntai

    Mewah Bahasa: 'Biar anak main semba'

    EDA dan Halim, pasangan suami isteri muda yang baru mempunyai seorang anak berusia setahun. Pada satu hujung minggu, mereka bercuti di rumah ibu bapa Halim di Perak kerana kenduri kesyukuran akan diadakan. Disebabkan mereka sibuk berkemas dan menyediakan makanan untuk kenduri pada malamnya, anak saudara mereka, Nani yang baru berusia 12 tahun diberi tanggungjawab menjaga anak mereka. Setelah kerja mereka selesai ....

    Halim: Syiqah kat mana?

    Eda: Ada kat bawah!

    Halim: Sapa jaga?

    Eda: Nani, ... tadi Nani ada cakap Syiqah main Simba, bebay anak singa dia tulah.

    Halim: Baru kejap ni tadi abang nampak bebay tu ada kat dalam bilik.

    Eda: Hai! Tadi Nani kata dia main Simba .... Jom tengok bawah.

    (Apabila sampai ke bawah rumah, mereka terkejut....)

    Halim: Nani!!! Apasal biar Syiqah main pasir tu?! Kamu tengok aje ke? Kang disuapnya ke mulut, entah ada taik kucing ke, taik angsa ke, dalam pasir tu?!

    Nani: Tadi Nani dah bagi tau Kak Cik yang Shiqah main semba. Kak Cik kata biarkan, tu pasallah Nani biarkan aje. Kalau Nani dulu masa kecik, main semba tentu mak marah, dia tarik telinga sebab selalunya lepas main semba, kaki tangan gatal-gatal, terus berkudis. Tapi tadi Kak Cik suruh biarkan Syiqah main semba.... Sekarang ni Nani pulak yang kena marah, wa! Wa! .... ( menangis dan terus lari ke bilik)

    Halim: Yang awak suruh Nani biarkan Syiqah main pasir kenapa?

    Eda: Bila pulak Nani ada bagi tau Syiqah main pasir? Tadi Nani cakap Syiqah main Simba. Tu pasallah saya suruh biarkan. Kalau main pasir tak bolehlah....

    Halim: Yang awak tak dengar betul-betul tu kenapa? Nani kata semba, bukan Simba!

    Eda: Semba tu apa?

    Halim: Pasir! Itupun tak tau ke?

    Eda: Kita orang Johorlah! Mana tau cakap Perak!

    Halim: Dah jadi menantu orang Perak, belajo le sikit-sikit cakap Perak. Dah tu! Tak payah bertekak lagi. Bawa anak awak tu masuk bilik air, mandikan dengan Dettol!!

    Glossari
    Semba (dialek Perak) - pasir
    Bebay (kolokial) - teddy bear

    Mewah Bahasa: 'Tampan air tu, Rozi'

    Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

    NONI dan Rozi, rakan sekerja di firma swasta. Mereka berdua berkongsi menyewa rumah flat dua bilik di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Pada suatu pagi Ahad, ketika mereka berdua hendak keluar bersarapan ....



    Noni: Alamak!! Kucing siapa pulak melepas depan pintu ni! Nasib baik tak terpijak.

    Rozi: Mak datuk! Tengiknya bau, mentakedarah apa kucing ni?! Besar pulak longgoknya tu!

    Noni: Pergilah ambil penyapu lidi dan air dalam baldi, bawa sekali serbuk pencuci tu.



    Rozi: Nah! Kaubuatlah, aku rasa nak termuntah ni, ... wek!!!

    Noni: Banyak cantik muka kau, ... kau ingat aku cium wangi ke? Kausiram air kat longgok tu, biar aku tolak masuk dalam salur hujan, biar turun ikut salur tu ke longkang bawah. Tabur dulu serbuk pencuci tu, lebih pun tak apa ... biar berbusa-busa sampai tak nampak.



    Rozi: Nah! Apa lagi? Aku dah siram, kaugosoklah dengan penyapu lidi tu biar hilang segala ainnya.



    Noni: Kausiram banyak sangat, karang melimpah sampai rumah Mak Cik Bedah sebelah ni pulak. Mengamuk dia, kau takkan tak tau perangai dia ... perang dunia ketiga nanti!



    Rozi: Eeei! Jangan banyak songehlah! Tampan! Tampan! Tampan tu!



    Noni: Mana? Mana? Kat bawah ke? (melepaskan penyapu lidi dan pergi ke birai koridor dan menjengok ke bawah mencari sesuatu)



    Rozi: Ooi! Apa kaubuat tu? Kan aku kata tampan?! Tampanlah cepat, karang air tu sampai rumah Mak Cik Bedah, mengamuk dia nanti, mampus kita!



    Noni: Mana yang tampan? Tak nampak pun?! Yang ada aya boroi je tengah lepak atas kerusi bawah tu. Kat mana kau nampak yang tampan?



    Rozi: Aku bilang tampan, tampan air tu dengan penyapu, tak le melimpah sampai rumah sebelah, lepas tu tolak masuk salur hujan tu, ada faham?!



    Noni: Laa ... tampan itu ke? Aku ingat ada jejaka tampan ke tadi. Maklumlah aku ni dah lama kemarau boyfriend ...



    Rozi: Bok bek bok bek aje lebih. Kan air tu dah sampai rumah sebelah. Tu kautengok longgok tu dah pecah, hanyut dan berlonggok lak kat depan pintu rumah Mak Cik tu!



    Noni: Alamak!! Rozi ... pintu rumah Mak Cik tu dah terbukalah, jom cabut masuk rumah, aku takutlah!



    Glossari

    Tampan - kacak

    - menahan perjalanan, aliran, pergerakan sesuatu (seperti aliran air)

    Mentakedarah - makan dengan banyak

    Busa - buih, semburan